20 Mei 2024, CYBERJAYA: Tiga agensi yang bermandat bumiputera dijajarkan semula dalam usaha bagi memperkasakan lagi tahap penyertaan kaum tersebut dalam penyertaan ekonomi Malaysia. Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, langkah itu juga selaras dengan matlamat Kerajaan Madani untuk melonjakkan bumiputera agar lebih berdaya strategik, mampan dan efektif.

Ujarnya, ia melibatkan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Yayasan Peneraju (YP) dan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) dengan diberikan sasaran khas perlu dicapai menjelang 2030.
“Ini juga dijayakan melalui kerjasama pintar yang inovatif antara sektor awam dan swasta,” ucap beliau berucap pada Majlis Menskalakan Penciptaan Nilai Bumiputera, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, inisiatif penjajaran semula ini dibentuk hasil susulan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 yang menggariskan peranan tiga agensi itu. Malahan ujarnya, inisiatif tersebut dilakukan setelah diambil kira pandangan pelbagai pihak berkepentingan melalui beberapa sesi libat urus yang sudah pun dijalankan awal tahun ini.
“Menerusi langkah ini, fungsi agensi berkenaan tidak lagi bertindih, bahkan lebih jelas demi memperkukuhkan kerjasama erat dalam misi penyampaian agenda bumiputera,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia
Unit Peneraju Agenda Bumiputera
Tingkat 13, Blok A, Suasana PjH
Jalan Tun Abdul Razak
Presint 2
62100 Putrajaya
Hakcipta © 2024-2026 Unit Peneraju Agenda Bumiputera