TENTANG TERAJU

Mengenai TERAJU

Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) ditubuhkan pada tahun 2011 sebagai peneraju strategik dalam memperkasa agenda ekonomi dan sosioekonomi Bumiputera, selaras dengan aspirasi pembangunan nasional Malaysia. Setelah berada di bawah Kementerian Ekonomi, TERAJU kini kembali ke Jabatan Perdana Menteri berkuat kuasa 26 Jun 2026, sekali gus mengukuhkan peranannya dalam menyelaras dan memacu agenda Bumiputera di peringkat nasional.

Hala tuju TERAJU berteraskan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35), kerangka strategik jangka panjang bagi memperkukuh keupayaan dan daya saing ekonomi Bumiputera. Sebagai penyepadu kepada ekosistem pemacu ekonomi Bumiputera, TERAJU menghubungkan dan menyelaraskan usaha pelbagai agensi, institusi dan pemegang taruh bagi memastikan pembangunan Agenda Bumiputera dilaksanakan secara strategik, bersepadu dan berimpak. Usaha ini berlandaskan prinsip pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif.

Selain aspek ekonomi, TERAJU turut diberi mandat untuk meningkatkan kesejahteraan dan kelestarian hidup masyarakat Bumiputera. Matlamatnya adalah untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif dan dinamik, sekali gus mengangkat martabat Bumiputera dalam landskap sosioekonomi negara. Dengan hala tuju yang jelas, TERAJU kekal komited sebagai pemangkin transformasi ekonomi Bumiputera dan pembangunan negara yang lebih inklusif serta mampan.

Visi

Merangka dan melaksanakan strategi pembiayaan dan pelaburan yang komprehensif untuk memperkasa syarikat-syarikat Bumiputera, sekaligus meningkatkan ketangkasan, daya saing dan kebolehpasaran global mereka di peringkat awal dan pertengahan perniagaan.

Fungsi Kami

TERAJU akan memainkan peranan sebagai “Super-Scaler” yang berwibawa bagi syarikat Bumiputera, merangkumi syarikat baharu hingga syarikat bersaiz sederhana melalui pendekatan yang lebih mampan dan bersasar. Rangka kerja strategik TERAJU memberi tumpuan kepada mempertingkat, memperkukuh, dan menskalakan perniagaan-perniagaan ini. TERAJU juga mempromosikan penyertaan Bumiputera dalam industri strategik berimpak tinggi, membangunkan ekosistem pembangunan dan seterusnya memastikan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif untuk persekitaran perniagaan yang lebih selamat dan penuh keyakinan.

Tentang Jenama

“Sirih berlipat sirih pinang,
Sirih berasal dari seberang,
TERAJU memacu Bumiputera gemilang,
Menjulang martabat ke puncak terbilang”

Ikon jenama TERAJU diilhamkan oleh Teraju Tiga, salah satu komponen fizikal penting dalam struktur utama Wau Bulan yang merupakan khazanah ikonik yang tidak lapuk ditelan zaman kerana rekaan aerodinamiknya yang unggul. Terletak di bahagian hulu Wau Bulan yang berbentuk mata panah dan berada di puncaknya, Teraju Tiga berfungsi sebagai komponen kawalan penerbangan untuk membelah angin, membuka ruang dan menstabilkan wau agar dapat terbang lebih tinggi. Walaupun kecil, Teraju Tiga memainkan peranan yang amat penting dalam penerbangan Wau Bulan, mencerminkan falsafah TERAJU dalam memacu agenda Bumiputera. Teraju Tiga pada Wau Bulan bukan sekadar komponen teknikal, ia membawa makna yang mendalam dalam konteks TERAJU.

Seperti Wau Bulan yang memerlukan Teraju Tiga untuk terbang tinggi dan stabil, TERAJU juga berfungsi sebagai “Super-Scaler” yang memastikan Bumiputera dapat mencapai puncak kecemerlangan ekonomi dengan kestabilan yang kukuh. Dalam usaha memacu agenda bumiputera utama, TERAJU mengadakan pelbagai inisiatif strategik untuk membuka ruang dan peluang kepada para usahawan Bumiputera untuk berkembang maju ke peringkat yang lebih tinggi dan berdaya saing di arena global. Teraju Tiga membolehkan pemain mengawal arah dan ketinggian Wau Bulan. Begitu juga dengan fungsi TERAJU, di mana ia bertanggungjawab untuk mengawal dan mengarahkan pelbagai inisiatif serta berperanan sebagai pemudah cara dalam pembangunan ekonomi Bumiputera secara amnya.

Seperti keindahan Wau Bulan yang menghiasi langit Malaysia, TERAJU terus menjulang aspirasi komuniti Bumiputera. Dengan setiap inisiatif yang dilancarkan, TERAJU menganyam impian dan harapan untuk masa depan yang lebih cerah dan makmur bagi ekonomi Bumiputera. Teraju Tiga yang menjadi inspirasi kepada ikon TERAJU bukan sahaja mencerminkan keseimbangan, kawalan dan kesatuan, tetapi juga berperanan dalam memacu aspek kesejahteraan dan kelestarian hidup bagi menghasilkan persekitaran yang selesa dan dinamik serta mengangkat martabat Bumiputera ke tahap yang lebih tinggi.