Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, beliau sendiri akan memantau pelaksanaan pelan transformasi 10 tahun itu menerusi Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) yang dipengerusikannya supaya berjalan lancar.
“PuTERA35 perlu, kita nak merancang (pembangunan negara) tetapi tanggungjawab saudara dari agensi kerajaan, syarikat kerajaan, jabatan dan kementerian (untuk menjayakannya).
“Percayalah, kita akan pantau dari dekat dan kita mahu program dan pelan ini berjaya untuk memartabatkan Bumiputera dan rakyat Malaysia,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran PuTERA35, di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; barisan jemaah menteri serta Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar.
Dengan visi Mengangkat Darjat dan Bumiputera Malaysia, PuTERA35 dibangunkan dengan tiga tema iaitu Penyertaan, Pemilikan dan Penguasaan (3P) Bumiputera yang berhasrat untuk mencipta nilai melalui pendekatan lebih produktif dan bersepadu bagi mendorong Bumiputera untuk terus berkembang maju dalam pembangunan sosioekonomi negara.
Ia disokong oleh tiga Teras, 12 Pemacu dan 132 Ikhtiar yang komprehensif, berani dan berpandangan jauh serta lebih inklusif dalam membawa pembangunan Bumiputera ke arah menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi serantau.
Tiga teras itu adalah memperkukuh pasak ekonomi negara, memperteguh kerukunan tatakelola dan institusi serta menegakkan keadilan sosial.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, mana-mana agensi kerajaan yang mengendalikan pembangunan Bumiputera dianggap pengkhianat lebih besar jika merosakkan agensi itu dengan tatakelola yang rendah dan menggunakannya untuk memperkayakan diri dan kelompok mereka, seterusnya melupakan agenda mengangkat golongan terbabit.
Justeru, beliau mahu agensi berkenaan melaksanakan proses pelaksanaan PuTERA35 lebih teliti, cekap dan bertanggungjawab.
“Kalau tidak kita curah berpuluh bilion ringgit, ia masih tiris dan bocor dan kesannya tidak sampai ke peringkat akar umbi menyebabkan dalam kalangan anak muda dan rakyat merasa resah kerana bunyinya hebat, perancangannya memukau tapi pelaksanaan tidak ke mana,” katanya.
Pada masa sama, Perdana Menteri menegaskan, dasar Bumiputera bukan bertujuan mengetepikan kepentingan suku kaum lain.
Malah, jelasnya, dasar Bumiputera adalah dasar afirmatif untuk memikirkan mengenai keadaan ketidakadilan sosial golongan berkenaan tanpa mengetepikan kedudukan kaum lain termasuk Bumiputera di Sabah dan Sarawak serta Orang Asli.
“Sebab itu pendekatan baharu kita bila kita bicara soal miskin tegar, dia tidak lihat dari segi kaum. Siapa yang tergolong di bawah kategori miskin tegar itu harus dibantu.
“Saya di antara PM yang paling sedikit bicara soal bumiputera dan dasar ekonomi bumiputera kerana saya lebih berminat untuk memastikan pelaksanaanya daripada menghebahkan dasarnya,” katanya.
Sumber: Buletin TV3
Unit Peneraju Agenda Bumiputera
Tingkat 13, Blok A, Suasana PjH
Jalan Tun Abdul Razak
Presint 2
62100 Putrajaya
Copyright © 2024 Unit Peneraju Agenda Bumiputera