1. Home
  2. »
  3. External Media
  4. »
  5. Permodalan Nasional Berhad (PNB) Sasar Bantu 1,000 Bumiputera Capai Tahap Profesional Melalui Inisiatif Perakaunan Profesional

Teraju Lonjakkan Rantaian Bekalan Bumiputera Melalui Kolaborasi Bernilai RM200 Juta

26 Oktober 2016, Kuala Lumpur – Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) hari ini menganjurkan acara pertukaran perjanjian di antara Permodalan Nasional Berhad (PNB), dengan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju), Kolej Pendidikan INTEC (INTEC) dan Ernst Young Malaysia (EY), bagi inisiatif PNB Chartered Accountant (PCA), yang bertujuan mewujudkan lebih ramai Akauntan Profesional di kalangan Bumiputera. Acara ini disaksikan oleh YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak dan diiringi oleh YB Datuk Hj Abdul Rahman Dahlan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YBhg Dato Husni Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU dan YBhg Tan Sri Abdul Wahid Omar, Pengerusi Kumpulan PNB. Agensi terlibat diwakili oleh YBhg Dato’ Abdul Rahman Ahmad, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, YM Raja Azura Raja Mahayuddin, Ketua Eksekutif Yayasan Peneraju, YBrs En Azlizan Fadzil, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UiTM Holdings Sdn Bhd dan YBhg Dato Abdul Rauf Rashid, Rakan Kongsi Pengurusan Negara EY Malaysia.

Jalinan kerjasama inisiatif PCA ini adalah selaras dengan agenda dan aspirasi Nasional bagi pembangunan modal insan di bawah Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera menjelang tahun 2020, dengan meningkatkan bilangan Akauntan Profesional Bumiputera dari 8% pada masa ini ke 25% menjelang tahun 2020. PCA akan memberikan tumpuan kepada penajaan calon dari lepasan SPM, graduan diploma dan ijazah dalam bidang perakaunan serta graduan program asasi perakaunan professional untuk mendapatkan kelayakan perakaunan professional. Penajaan akan merangkumi elaun sara hidup, yuran pengajian dan yuran-yuran lain yang berkenaan.

Sebagai permulaan, PCA akan menawarkan program kelayakan profesional Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) dan akan dikembangkan pada masa hadapan agar ia meliputi kelayakan perakaunan profesional setara yang lain. Antara kelayakan perakaunan profesional yang bakal ditawarkan termasuk Malaysian Institute of Certified Public Accountants – Chartered Accountants Australia and New Zealand (MICPA[1]CAANZ), Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW), Certified Practising Accountants ( CPA) Australia, Chartered Institute of Management Accountants (CIMA) serta mana-mana badan yang diiktiraf Badan Perakaunan Profesional.

Di majlis yang sama, YAB Perdana Menteri turut menyaksikan pertukaran dokumenpenggabungan dan pengambilalihan atau MA (Merger and acquisition) yang melibatkan sejumlah RM 30 juta, di antara Censof Holdings Bhd (Censof)dengan Asian Business Software Solutions Pte Ltd (ABSS), sebuah syarikat perisian dan aplikasi komputer beribu pejabat di Singapura. Censof adalah sebuah syarikat di bawah Program Skim Jejak Jaya Bumiputera (SJJB) TERAJU. Melalui usahasama ini Censof bakal mengukuhkan prospek dan daya saing perniagaan mereka dalam rantaian bekalan perisian dan aplikasi komputer di peringkat ASEAN dan Asia Tenggara. Usahasama ini juga bakal merangsang pertumbuhan perniagaan Censof serta menempatkan syarikat Bumiputera ini di peta dunia dalam industri perisian dan aplikasi komputer.

Sebelum acara pertukaran perjanjian berlangsung, Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) bersidang untuk membincangkan inisiatif-inisiatif Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera. MEB dimaklumkan mengenai perkembangan terkini berkenaan penyertaan Bumiputera di ruang perniagaan Stesen MRT terpilih bagi jajaran Sungai Buloh-Kajang (SBK)yang diadakan selaras dengan inisiatif Carve Out and Compete di bawah TERAJU.

Menurut Mass Rapid Transit Corporation (MRT Corp.), berdasarkan proses tender ruang perniagaan di stesen-stesen bertingkat MRT Jajaran SBK, penglibatan usahawan Bumiputera adalah sebanyak 51% iaitu 21 lot perniagaan daripada jumlah keseluruhan 41 lot yang ditawarkan.

Menurut Dato Husni Salleh, “Usaha ini dijangka dapat membantu meningkatkan penyertaan syarikat Bumiputera dalam bidang perniagaan runcit dengan membuka peluang ruang perniagaan di lokasi strategik stesen-stesen MRT. Diharapkan usaha ini juga dapat membantu usahawan kecil Bumiputera yang mungkin tidak berpeluang menyewa ruang perniagaan di lokasi-lokasi strategik.”