KUCHING: Kementerian Kerja Raya harus melibatkan kontraktor G6 atau Kelas B ke bawah termasuk Kelas F, E dan C di negeri ini dalam projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak.
Menyarankan demikian, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) Datuk Mohd Naroden Majais berkata ia bagi memberi peluang kepada golongan kontraktor terbabit menceburkan diri dalam projek mega tersebut.
“Saya bagi pihak usahawan di Sarawak memohon kepada kementerian berkenaan supaya beberapa komponen pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak diberikan kepada kontraktor G6 ke bawah.
“Ini kerana ramai di kalangan mereka telah menyuarakan hasrat untuk menceburkan diri dalam projek Lebuh Raya Pan Borneo ini,” katanya pada sidang media sempena Sesi Rangkaian Syarikat-Syarikat Berprestasi Tinggi (TERAS) di sini, semalam.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Unit Peneraju Agenda Bumiputera, Jabatan Perdana Menteri Datuk Husni Salleh.
Selain itu, Naroden yang juga Menteri Muda Perancangan Sumber turut menyuarakan agar projek persekutuan yang dilaksanakan di Sarawak dilonggarkan syarat kepada para kontraktor di negeri ini.
Jelasnya, ia khususnya melibatkan pengambilan dokumen tender di mana pada masa ini ia harus diambil di Putrajaya.
Justeru, beliau berkata Kementerian Kerja Raya perlu memberi kuasa kepada agensi mereka di Sarawak untuk menguruskan pengambilan dokumen tender terbabit agar dapat menjimatkan kos para kontraktor di negeri ini.
“Sebagai contoh pembinaan bangunan sekolah di pedalaman… sebelum kontraktor mengambil dokumen tender, mereka perlu melihat tapak di kawasan berkenaan dan selepas itu baharulah boleh pergi mengambil dokumen tender di Kuala Lumpur.
“Kemudian mereka perlu balik untuk membuat pemeriksaan, survei dan sebagainya untuk dilengkapkan dalam dokumen tender tersebut dan menghantar balik ke Kuala Lumpur.
“Maka ini melibatkan banyak kos kepada kontraktor kita sedangkan mereka belum pasti mendapat projek tersebut,” katanya.
Sumber: Utusan Borneo
Unit Peneraju Agenda Bumiputera
Tingkat 13, Blok A, Suasana PjH
Jalan Tun Abdul Razak
Presint 2
62100 Putrajaya
Hakcipta © 2024 Unit Peneraju Agenda Bumiputera