OYA: Kaedah dan teknologi baru yang diperkenalkan oleh Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) bersama Universiti Sains Malaysia (USM) kepada komuniti setempat mampu meningkatkan hasil lebih mampan.
Ketua Pegawai Eksekutif Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) Junady Nawawi berkata ini terbukti melalui Projek Madu Kelulut yang dahulunya menggunakan kaedah tradisional tetapi kini teknologi moden.
Junady merakam kenangan bersama yang lain selepas majlis tersebut.
“Kaedah dan teknologi baru diperkenalkan adalah berdasarkan data dan kajian yang telah dilaksanakan oleh USM.
“Usaha-usaha ini ditingkatkan dengan lebih berstruktur dari semasa ke semasa bagi mendapatkan capaian dan keberhasilan yang mampan untuk masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Peluncuran Smart Farming Facility: Projek Madu Kelulut DPUB INNO4C, di Kampung Bakong, di sini, hari ini.
Menyentuh mengenai Projek Madu Kelulut yang dilaksanakan oleh mereka, katanya, ia antara projek perintis yang sangat berjaya.
Jelasnya, ia bukan sahaja kerana potensi sebagai sumber alternatif mampan, malah menggabungkan beberapa aspek.
Ini termasuklah teknologi ‘smart farming’ dan pemantauan data, amalan penternakan kelulut moden, rangkaian nilai tambah produk serta latihan berasaskan penyelidikan dari institusi akademik terkemuka negara iaitu USM.
Katanya lagi, lebih membanggakan apabila produk madu kelulut daripada projek Innovation for Community (INNO4C) telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa termasuk Amerika Syarikat, Jepun, Arab Saudi dan China.
Sehubungan itu, katanya, projek ini dilaksanakan di bawah Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera (DPUB) dan sebanyak RM3 hingga RM4 juta peruntukan disediakan.
“Ini termasuklah untuk tujuan membina serta menyediakan tapak, menjadikan fasiliti yang diperlukan seperti yang ada di Projek Penternakan Madu Kelulut Kampung Bakong Oya.
“Contohnya, di sini, kita menyediakan ‘hives’ yang mana ia merupakan kaedah baru atau moden diperkenalkan kepada komuniti.
“Kita sedia maklum, kelulut adalah serangga liar yang menghasilkan madu di dalam pokok. Dengan adanya ‘hives’ ini, kita mampu menuai hasilnya dengan lebih mudah,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Junady turut berharap agar semua pihak termasuk kerajaan, badan bukan kerajaan, swasta dan sebagainya untuk bekerjasama melaksanakan program seperti ini bagi membantu komuniti setempat.
Tambahnya, diharapkan komuniti setempat dapat menerima manfaat yang maksimum daripada usaha yang telah dilaksanakan ini.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat USM, Profesor Dr Azlan Amran.
Sumber: suarasarawak.my
Unit Peneraju Agenda Bumiputera
Tingkat 13, Blok A, Suasana PjH
Jalan Tun Abdul Razak
Presint 2
62100 Putrajaya
Copyright© 2025 Unit Peneraju Agenda Bumiputera