RASAH 19 Mei – Sebanyak RM97.67 juta telah diluluskan oleh Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) melalui Dana Mudahcara bagi pembinaan 50 projek hartanah di atas tanah rizab Melayu dan tanah adat di seluruh negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Teraju, Datuk Husni Salleh berkata, ke-semua projek berkenaan mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM1.54 bilion.
Beliau berkata, dana tersebut ditawarkan bertujuan menggalakkan pembangunan di tanah rizab Me-layu dan tanah adat yang se-ring berhadapan dengan kesukaran mendapatkan pembiayaan daripada institusi kewangan.
“Insentif yang diterima daripada Dana Mudahcara ini akan membolehkan projek lebih berdaya maju untuk dilaksanakan sehingga siap yang mana ia diterjemahkan kepada pengurangan kos dalam pembinaan.
“Ini akan memanfaatkan pembeli yang menikmati harga lebih rendah atau menikmati faedah tidak langsung seperti pemberian insentif tunai.
“Teraju berharap untuk melihat lebih banyak syarikat bumiputera memanfaatkan dana ini dengan mengambil bahagian secara aktif dalam pembinaan rumah mampu milik,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran projek perumahan Taman Puncak Rasah dekat sini hari ini.
Pelancaran itu telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Kesejahteraan Bandar), Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimi Abd. Manaf yang mewakili Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan.
Yang turut hadir Yang Dipertua Majlis Perbandaran Nilai, Datuk Abd. Halim Abd. Latif dan Pengarah Urusan Citra Upaya Sdn. Bhd., Datuk Rahman Harun.
Taman perumahan itu dibangunkan oleh syarikat bumiputera, Citra Upaya di kawasan tanah rizab Melayu seluas 1.9 hektar yang me-rangkumi 194 unit rumah apartmen lima tingkat.
Semua unit rumah berkenaan yang ditawarkan pada harga antara RM186,800 sebuah hingga RM199,800 sebuah telah habis dijual kepada pembeli bumiputera.
Sumber: Utusan Malaysia
Unit Peneraju Agenda Bumiputera
Tingkat 13, Blok A, Suasana PjH
Jalan Tun Abdul Razak
Presint 2
62100 Putrajaya
Hakcipta © 2024 Unit Peneraju Agenda Bumiputera