CYBERJAYA 12 Mac – Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (Superb) memperuntukkan kira-kira RM30 juta bagi membantu seramai 40 usahawan bumiputera yang baharu memulakan perniagaan tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Datuk Husni Salleh berkata, 40 usahawan baharu itu akan dipilih me-lalui empat siri pembentangan projek perniagaan yang dikendalikan Superb bersama lebih 12 agensi kerajaan.
Beliau berkata, untuk tahun ini, pihaknya menerima seramai 325 peserta bagi mengikuti program tersebut.
“Hari ini merupakan siri pertama, kita mempunyai tiga siri lagi untuk tahun ini. Setakat ini, Superb telah melihat pembentangan perniagaan daripada seramai 24 peserta. Bagi siri pertama ini, kita akan pilih yang terbaik daripada 24 orang ini.
“Pemilihan dibuat berdasarkan beberapa kriteria yang telah ditetapkan seperti perniagaan berpotensi, inovasi dan kreatif serta mempunyai kepakaran dalam sektor tertentu yang pastinya boleh membantu negara melonjakkan ekonomi bumiputera,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Yang turut hadir empat ahli panel Superb iaitu Pengarah Urusan ZIKAY Sdn. Bhd., Datuk Mohd. Kay Ibrahim; Ketua Pegawai Eksekutif Touch ‘n’ Go Sdn. Bhd., Syahrunizam Samsudin; Ketua Pegawai Eksekutif Al-Ikhsan Sports Sdn. Bhd., Ali Hassan dan Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Datuk Dr. Ameer Ali.
Husni berkata, sejak dilancarkan pada 2014, pihaknya memilih 90 usahawan baharu dan separuh daripadanya menerima bantuan RM500,000 bagi menjalankan perniagaan dalam pelbagai sektor.
Kata beliau, jumlah tersebut adalah daripada hampir 5,000 penyertaan usahawan di bandar dan luar bandar yang diterima.
“Di bawah Superb, kita tidak akan membiarkan usahawan yang terpilih bergerak sendiri. Kita akan membantu mereka melalui bantuan 12 agensi kerajaan yang terdiri daripada pelbagai sektor.
“Malah, geran RM500,000 untuk setiap usahawan yang terpilih tidak terus diberi kepada mereka tetapi perlu tunggu sehingga satu tempoh matang iaitu sehingga usahawan tersebut dilihat benar-benar bersedia untuk berdiri sendiri tanpa bantuan,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia
Unit Peneraju Agenda Bumiputera
Tingkat 13, Blok A, Suasana PjH
Jalan Tun Abdul Razak
Presint 2
62100 Putrajaya
Hakcipta © 2024 Unit Peneraju Agenda Bumiputera