1. Home
  2. »
  3. External Media
  4. »
  5. Realignment of bumiputera-mandated agencies helps to double bumiputera companies on Bursa Malaysia – Rafizi

Teraju Lonjakkan Rantaian Bekalan Bumiputera Melalui Kolaborasi Bernilai RM200 Juta

KUALA LUMPUR 3 April – Kaum bumiputera digesa untuk berfikir di luar kotak dan memanfaatkan penggunaan teknologi dengan sebaiknya bagi membantu meningkatkan taraf ekonomi mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Datuk Husni Salleh berkata, semua pihak perlu mengambil peranan dalam membangunkan agenda bumiputera kerana agenda tersebut bukan hanya terletak di bahu kerajaan.

Katanya, Teraju menerusi program-program di bawahnya seperti Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (YPPB) telah memberi peluang kepada anak-anak keluarga terpinggir melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

“Kami turut bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Petroleum Johor (JPDC) untuk menghantar penduduk-penduduk tempatan yang tidak mempunyai pekerjaan mengambil lesen memandu kenderaan berat supaya mereka ini berpeluang bekerja di tapak projek Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, Johor.

“Era dulu dan kini banyak perbezaannya, kini masyarakat sudah biasa dengan teknologi, mungkin kita boleh melihat bagaimana caranya kita mengguna pakai teknologi pada hari ini.

“Masyarakat bumiputera harus berfikir di luar kotak, keluar daripada zon selesa kerana semua orang melakukan perkara yang sama. Sebagai contoh kita boleh melihat kejayaan pengasas Alibaba, Jack Ma. Mengapa dia boleh berjaya? Ini kerana dia membuat perkara-perkara yang luar daripada kebiasaannya,” kata­nya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui selepas majlis perasmian Makmal Sindikasi

Hala Tuju Transformasi Bumiputera (BETR 2.0) di sini hari ini.Makmal tersebut merupakan inisiatif Majlis Ekonomi Bumiputera yang menyokong hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak untuk melihat seluruh jentera kerajaan dilibatkan dalam pelaksanaan agenda transformasi ekonomi bumiputera.

Terdahulu dalam ucapannya pada majlis perasmian Makmal Sindikasi BETR 2.0, Husni berkata, agenda bumiputera merupakan agenda yang besar dan semua kementerian, agensi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat milik kerajaan (GLC) harus bekerjasama mengemudi agenda tersebut.

“Saya melihat makmal yang diadakan pada hari ini mempunyai dua matlamat besar yang ingin dicapai iaitu untuk mendapatkan maklum balas pelbagai kelompok pihak berkepentingan kepada BETR 2.0 yang akan dilancarkan pada 19 April nanti.

“Matlamat kedua yang juga penting ialah menggunakan makmal ini untuk mendalami BETR itu sendiri dan melihat bagaimanakah kita boleh melakukan penjajaran semula dengan inisiatif dan projek kementerian, GLC dan agensi-agensi sedia ada serta matlamat ketiga adalah merangka pelan-pelan tindakan bersifat rentas kementerian dan agensi,” katanya.

BETR 2.0 memberi tumpuan ke atas lima teras utama dalam agenda pemerkasaan ekonomi bumiputera untuk tempoh lima hingga enam tahun akan datang.

Lima teras tersebut adalah pendidikan dan modal insan, pekerjaan dan pendapatan, ekuiti korporat, keusahawanan serta aset bukan kewangan.