1. Home
  2. »
  3. External Media
  4. »
  5. PuTERA35 dorong Bumiputera main peranan lebih signifikan dalam pembangunan sosioekonomi negara

PuTERA35 dorong Bumiputera main peranan lebih signifikan dalam pembangunan sosioekonomi negara.

19 Ogos 2024, PUTRAJAYA: Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) yang diluncurkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini, bertujuan mendorong Bumiputera untuk terus berkembang maju dan memainkan peranan lebih signifikan dalam pembangunan sosioekonomi negara.

Anwar ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 di Putrajaya, hari ini. - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

Kementerian Ekonomi dalam satu kenyataan berkata, PuTERA35 merangkumi tiga teras struktural penting, iaitu kemampanan sosioekonomi, keutuhan tatakelola dan institusi, serta keadilan sosial yang turut meliputi 12 pemacu dan 132 ikhtiar yang komprehensif, berani serta berpandangan jauh.

Katanya, pelan dengan visi ‘Mengangkat Darjat dan Martabat Bumiputera’ itu dibangunkan dengan tema Penyertaan, Pemilikan dan Penguasaan (3P) Bumiputera yang lebih bermakna, yang berhasrat mencipta nilai melalui pendekatan lebih produktif dan bersepadu.

“Tema ini bertujuan memastikan segenap lapisan masyarakat Bumiputera, termasuk Bumiputera Sabah dan Sarawak, serta Orang Asli mempunyai asas ketahanan yang kukuh dalam mendepani segala isu dan cabaran mendatang.

“Selain itu, penyertaan Bumiputera dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan inovasi serta sebagai tenaga kerja berkemahiran tinggi, dapat ditingkatkan melalui PuTERA35,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, PuTERA35 memperlihatkan komitmen kerajaan untuk mengangkat darjat dan martabat Bumiputera sejajar dengan aspirasi Ekonomi MADANI, iaitu Memperkasa Rakyat serta dijajarkan dengan Agenda Pembangunan Mampan 2030 (Agenda 2030) yang akan membolehkan rakyat menikmati kehidupan lebih berkualiti.

“Ia menekankan tiga matlamat utama, iaitu membangunkan Bumiputera yang dinamik dan futuristik serta mampu mendepani isu dan cabaran semasa dan yang akan datang.

“Selain itu, PuTERA35 menetapkan sasaran lebih jelas bagi pengukuran tahap penyertaan, pemilikan dan penguasaan ekonomi Bumiputera yang lebih bermakna, serta membangunkan mekanisme pemantauan lebih berkesan melalui penetapan pihak yang bertanggungjawab dalam pelaksanaan setiap ikhtiar,” katanya.

Pelaksanaan PuTERA35 meliputi jangka pendek, sederhana dan panjang dengan perincian mengenai program dan projek bagi setiap ikhtiar akan dilaksanakan oleh agensi pelaksana berkaitan serta diselaraskan oleh kementerian yang dikenal pasti.

Pada masa sama, ia bersifat lebih inklusif, sekali gus menjadi anjakan besar dalam membawa pembangunan Bumiputera ke arah menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi serantau.

Sumber: Berita Harian