IPOH (Bernama) — Memilih kerjaya di luar bidang yang dipelajari sememangnya keputusan yang sukar dilakukan bagi kebanyakan orang terutama jika tiada dorongan dan minat.
Namun bagi Mohd Shafeeq Mohd, 33, kerjaya yang dimilikinya sekarang nyata berbeza daripada apa yang dipelajari selama lebih enam tahun di Jerman.
Memiliki ijazah dalam Kejuruteraan Seni Bina Kapal dan Kejuruteraan Laut, beliau kini selesa bergelar usahawan industri tekstil bagi membantu perniagaan milik keluarga sejurus tiba di Malaysia pada 2010.
DARI SEORANG JURUTERA KEPADA USAHAWAN KAIN
Memperoleh ijazah dari University of Applied Science, Bremen, Mohd Shafeeq berkata beliau tidak merasa ralat atau menyesal dengan jalan kerjaya yang dipilih kerana yakin dengan perniagaan keluarga yang diusahakan.
“Sebaik tiba di Malaysia selepas enam tahun di Jerman, saya terus bekerja di kedai keluarga dan rasa bertanggungjawab untuk membantu mengembangkan perniagaan ini kerana saya tahu peluang itu banyak.
“Di Jerman saya lihat perniagaan keluarga jauh lebih kuat dan kukuh. Jadi bila balik ke Malaysia saya tidak kisah untuk berniaga bersama-sama keluarga,” kata anak jati Alor Setar, Kedah itu.
Sering diasak persoalan mengapa memilih kerjaya sebagai usahawan berbanding jurutera, Mohd Shafeeq berkata ilmu kejuruteraan yang dimiliki tidak disia-siakan begitu sahaja sebaliknya turut digunakan untuk mengemudi perniagaan.
“Saya tak pernah menyesal walaupun ada peluang untuk jadi jurutera, malah saya boleh bekerja di Jerman, tetapi bidang keusahawanan ini tiada had.
“Saya mendapat kepuasan sendiri bila berniaga bersama keluarga, malah kalau saya jadi jurutera sekalipun saya masih menjadi pekerja kepada seorang usahawan,” katanya yang mula bekerja di Busana Azzahra pada hari pertama tiba di Malaysia.
Selain itu, beliau juga mengaplikasikan ilmu kejuruteraan yang dimiliki bagi menggerakkan perniagaan dengan menggunakan konsep yang sama.
“Saya ibaratkan perniagaan seperti sebuah kereta. Sekiranya pemandu bagus tapi tayar pancit, tiada guna. Tayar kena kuat, enjin kena hebat juga. Sama juga dengan perniagaan. Kalau hanya produk yang bagus tapi pemasaran tidak, ia tidak dapat berkembang,” katanya.
Abang kepada Mohd Shafeeq, Shaqeer Mohd sebelum ini juga bekerja dengan Malaysia International Shipping Corporation Bhd (MISC) sebagai jurutera, namun mengambil keputusan berhenti pada 2008 bagi memberi komitmen penuh kepada perniagaan yang semakin membangun.
BUSANA AZZAHRA SDN BHD
Demi mencari inisiatif bagi mengatasi kepayahan hidup, ibu bapa Mohd Shafeeq, Azizah Bakar dan Mohd Jaafar tekad memulakan perniagaan secara kecil-kecilan dari rumah ke rumah di Kampung Hilir, Kepala Batas, Kedah pada 2007 dan berjaya membuka kedai kecil pertama pada tahun berikutnya.
“Ibu bapa saya mula menjual di rumah, kemudian menjunjung guni-guni kain dari Kuala Lumpur ke Kedah sebelum dapat buka kedai di Kepala Batas.
“Busana Azzahra yang ada sekarang tidak akan wujud jika mereka tidak tekad mengharungi jerih payah pada ketika itu dan kini kami sudah ada enam cawangan di seluruh Malaysia termasuk di Johor, Pahang, Perak dan Kuala Lumpur,” katanya.Azzahra adalah gabungan nama ibu Mohd Shafeeq dan adik perempuannya, Fateen Syaheera.
Pada 2009, cawangan kedua yang merupakan ibu pejabat dibuka di Alor Setar dan pada 2011 ia didaftarkan sebagai syarikat Sdn Bhd.
Selain menjual pelbagai jenis rekaan pakaian wanita dan lelaki, antara khidmat menarik lain yang ditawarkan Busana Azzahra ialah tempahan baju ekspres yang mana tempahan boleh disiapkan dalam masa 24 jam.
Menurut Mohd Shafeeq, seluruh ahli keluarganya terlibat secara langsung dalam perniagaan dan ia merupakan satu bentuk kepuasan untuk bekerja bersama-sama keluarga kerana lebih mengenali antara satu sama lain selain dapat berjumpa setiap hari.
“Selepas saya tamat belajar, saya lihat ibu bapa saya usahakan perniagaan ini saya rasa saya kena bantu kerana tahu tahap kemampuan mereka dan saya ada idea untuk diketengahkan bagi kembangkan lagi perniagaan ini,” kata anak kedua daripada lima adik-beradik itu.
REBUT PELUANG
Lambakan peluang yang disediakan kerajaan untuk membantu usahawan bumiputera menjadi antara sebab yang menyakinkan Mohd Shafeeq menceburkan diri dalam industri perniagaan.
“Sebenarnya banyak agensi yang boleh bantu usahawan seperti Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), SME Corp, Majlis Amanah Rakyat (MARA), tetapi kita perlu bersedia untuk minta dana dan bantuan, bukan pergi dengan tangan kosong sahaja,” katanya.
Lebih membanggakan Mohd Shafeeq telah memenangi pertandingan Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (SUPERB) anjuran TERAJU pada 2015 yang membolehkannya memperoleh geran bernilai RM500,000.
Kerajaan memperuntukkan RM100 juta di bawah SUPERB selama tiga tahun bermula 2014 untuk membantu usahawan belia Bumiputera yang kreatif dan inovatif mengembang dan mengkomersialkan idea perniagaan mereka.
“Sebagai seorang usahawan, kita perlu mencari dan banyak mencuba untuk membangunkan hasil tangan kita. Tiada sebarang alasan maklumat tidak sampai dan sebagainya kerana nilai usahawan yang baik ialah sentiasa mencari,” katanya.
BERNAMA
Unit Peneraju Agenda Bumiputera
Tingkat 13, Blok A, Suasana PjH
Jalan Tun Abdul Razak
Presint 2
62100 Putrajaya
Hakcipta © 2024 Unit Peneraju Agenda Bumiputera