1. Home
  2. »
  3. Events
  4. »
  5. Abdul Rahman Bersedia Dekatkan Rakyat Dengan EPU

Abdul Rahman Bersedia Dekatkan Rakyat Dengan EPU

SHAH ALAM – Datuk Abdul Rahman Dahlan yang dilantik menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi Unit Perancang Ekonomi (EPU) memaklumkan bahawa beliau bersedia untuk memulakan pelaksanaan program bagi mendekatkan rakyat dengan kementerian berkenaan.

Menurut Abdul Rahman, kini adalah masa yang sesuai untuk menarik perhatian rakyat supaya lebih berminat terhadap isu ekonomi negara menerusi bahasa yang lebih mesra dan mudah difahami.

“Pelaksanaan program-program yang membuatkan EPU lebih difahami dan dihargai oleh masyarakat perlu dimulakan.

“Institusi penting ini tidak boleh kekal berada dalam genggaman eksklusif pakar ekonomi, ahli perniagaan dan pembuat dasar,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau yang sebelum ini menjawat jawatan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, berkata, EPU berperanan penting dalam membentuk pembangunan sosial dan ekonomi negara, malah fungsinya juga begitu meluas.

Abdul Rahman berkata, beliau yakin isu ekonomi akan memainkan peranan utama dalam menentukan undi pada PRU14 akan datang.

“Kita mesti berusaha keras menjelaskan isu penting menerusi cara lebih mudah dalam usaha merapatkan EPU dengan rakyat dan cara ini berupaya membantu rakyat dalam cakupan lebih luas bagi memahami cabaran ekonomi yang penuh dinamik.

“Apabila rakyat mula memahami dan menyelami denyut nadi EPU, dengan sendirinya usaha ke arah menggerakkan mereka memanfaatkan dasar dalam menangani cabaran dihadapi negara, menjadi lebih mudah,” katanya.

Menyentuh mengenai pelantikan beliau menerusi rombakan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini, Abdul Rahman memaklumkan bahawa beliau amat menghargai kepercayaan dan keyakinan yang diberikan kepadanya.

Tambah beliau, pelantikan tersebut turut menandakan satu lagi pencapaian buat rakyat Sabah memandangkan ini merupakan kali pertama seorang menteri dari Sabah dipilih untuk menerajui EPU.

“Walaupun berasa sedih untuk meninggalkan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) selepas 3 tahun, saya berasa teruja untuk memberi sumbangan terbaik kepada EPU supaya dapat meneruskan kecemerlangan yang ditinggalkan barisan menteri ekonomi terdahulu,” katanya.

Sumber: Sinar Harian