1. Home
  2. »
  3. Media Luar
  4. »
  5. Yayasan Peneraju, Teraju, Dan Ekuinas Bekerjasama Untuk Bangunkan Usahawan Dari Peringkat Bakat, Startup Ke Syarikat…

Yayasan Peneraju, Teraju, Dan Ekuinas Bekerjasama Untuk Bangunkan Usahawan Dari Peringkat Bakat, Startup Ke Syarikat Besar

20 Mei 2024, Kuala Lumpur – Tiga agensi dibawah Kementerian Ekonomi hari ini mengumumkan kerjasama dan penjajaran baharu, dalam usaha untuk membantu pembangunan syarikat Bumiputera daripada pelbagai tahap, sehingga mencapai syarikat bersaiz besar. Tiga agensi berkenaan adalah Yayasan Peneraju, TERAJU, dan juga Ekuinas.

Yayasan Peneraju akan memfokuskan dalam pembangunan bakat bernilai tinggi dibawah mereka – dan memperluaskan lagi pencarian dan pembangunan bakat, tidak terhad kepada beberapa kategori sahaja buat masa ini. Yayasan Peneraju menyasarkan untuk membangunkan beberapa bakat “pemimpin” termasuk dalam arena perniagaan, profesional dan juga komuniti. Bakal ini akan dibangunkan termasuk untuk industri peralihan tenaga, teknologi, digital dan beberapa yang lain.

Disamping itu, Yayasan Peneraju juga menyasarkan membangunkan sekitar 14 firma peneroka modal dalam membantu usahawan Bumiputera untuk ke tahap seterusnya.

Sementara TERAJU pula menyasarkan untuk menyediakan bantuan untuk pembangunan syarikat dan startup ke fasa seterusnya. Sejumlah RM1 bilion dana dijangka akan disediakan dibawah TERAJU, dalam usaha membantu untuk membangunkan sekitar 1000 syarikat Bumiputera daripada syarikat mikro dan kecil kepada saiz sederhana dan besar. TERAJU menyasarkan untuk mencapai angka ini menjelang 2030 kelak.

Dan akhir sekali, Ekuinas pula menyasarkan untuk membantu syarikat Bumiputera dengan rekod cemerlang dan keuntungan yang tinggi untuk terus ke fasa seterusnya. Ekuinas menyediakan dana berjumlah RM800 juta untuk tujuan ini.

Inisiatif yang diumumkan hari ini juga adalah selari dengan Rancangan Malaysia Ke-12, selain terus membangunkan serta membentuk ekosistem keusahawanan yang lebih menyeluruh.

Sumber: Amanz Media