1. Home
  2. »
  3. Media Luar
  4. »
  5. Waktu Kerja Anjal Punca Ramai Bumiputera Jadi Pemandu P-hailing

Waktu Kerja Anjal Punca Ramai Bumiputera Jadi Pemandu P-hailing

31 Julai 2021, KUALA LUMPUR: Waktu kerja fleksibel mendorong ramai Bumiputera menyertai perkhidmatan e-hailing, demikian dapatan kajian Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU). Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Md Silmi Abd Rahman, berkata kajian sejak April lalu itu mendapati faktor lain adalah untuk mencari pendapatan tambahan dan kehilangan pekerjaan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selain itu, katanya, keadaan ekonomi tidak menentu, penyertaan yang tidak memerlukan kelayakan tinggi dan demi meneruskan kelangsungan hidup.
“Daripada 70,000 penghantar makanan, kira-kira 40,000 atau 57 peratus tertumpu di kawasan Lembah Klang, dengan pembabitan golongan Bumiputera (93.8 peratus) dan golongan muda berusia 18 hingga 30 tahun, 80.1 peratus.

Food delivery riders pick up their orders in Penang on day seven of the movement control order March 24, 2020. u00e2u20acu201d Picture by Sayuti Zainudin

“Melihatkan pembabitan Bumiputera yang ramai dalam bidang itu, kami terpanggil untuk membela kebajikan dan membantu permasalahan mereka, terutama dalam keadaan pandemik ketika ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, TERAJU mengambil inisiatif mengadakan Sesi Sindikasi Peluang Pekerjaan Dalam Perkhidmatan p-hailing, khusus kepada penghantar makanan yang diadakan secara dalam talian selama dua hari, bermula Khamis lalu.
“Sesi ini bertujuan mencari penyelesaian isu berbangkit demi meningkatkan kelestarian dan kesejahteraan pemandu perkhidmatan p-hailing.
“Tumpuan diberikan kepada enam perkara utama iaitu Etika dan Tingkah Laku, Undang-Undang, Keselamatan, Sistem Aplikasi, Pelanggan dan Vendor serta Operator,” katanya.
Sesi yang dipengerusikan oleh Md Silmi itu turut membabitkan 43 pihak terdiri daripada pelbagai kementerian, badan berkanun dan agensi terbabit, pengendali platform, operator, vendor dan wakil dari Persatuan Penghantar p-hailing Malaysia.

Md Silmi berkata, TERAJU sebagai pemboleh cara strategik pembangunan sosioekonomi Bumiputera, nekad dan teguh dalam aspirasinya memacu pemerkasaan pembangunan ekonomi gig ke arah meningkatkan pembabitan Bumiputera di rantaian nilai lebih tinggi.
Beliau berkata, pihaknya berharap dengan usaha itu, isu serta cabaran semasa yang dihadapi mampu diselesaikan bagi mewujudkan ekosistem di mana Bumiputera mempunyai peluang yang saksama, termasuk dari segi keselamatan sosial dan kebajikan dalam memberikan khidmat p-hailing berkualiti tinggi.

Katanya, antara cadangan yang dikenal pasti dalam sesi dua hari itu adalah penambahbaikan aplikasi, peningkatan tahap keselamatan penghantar makanan dan kawal selia yang berpatutan dalam industri itu. “Justeru, perhatian yang serius dan komprehensif amat penting demi memastikan hak Bumiputera tidak diketepikan serta penyertaan mereka dilihat sebagai rakan kerjasama yang bersama menggerakkan industri ekonomi gig ini.

“Malah, TERAJU juga akan terus menjadi pemangkin kepada usaha ini sehingga tertubuhnya satu badan utama yang akan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kepentingan pengusaha dalam perkhidmatan p- hailing,” katanya.

Sumber: Berita Harian