1. Home
  2. »
  3. Media Luar
  4. »
  5. Teraju Akan Lancar Sub – Dana Mudahcara Bernilai RM100 Juta

Teraju Akan Lancar Sub – Dana Mudahcara Bernilai RM100 Juta

KUALA LUMPUR: Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) akan melancarkan program pembiayaan sub-dana Mudahcara bernilai RM100 juta di bawah Dana Pemudahannya pada akhir suku ketiga 2016 bagi membantu syarikat Bumiputera untuk melaksanakan projek mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Teraju, Datuk Husni Salleh, berkata sub-dana itu akan berfungsi sebagai pemudahcara serta melancarkan projek yang dijalankan syarikat Bumiputera, dan dilaksanakan dengan kerjasama SME Bank.

“Kadang-kadang syarikat Bumiputera kekurangan modal atau pembiayaan bank tidak cukup dan ini adalah satu kekangan kepada syarikat terbabit.

“Kami akan melancarkan pinjaman sub-dana mudahcara itu sebagai pemudahan kepada projek. Ia akan menjadi pinjaman sekunder yang didapatkan daripada bank lain oleh syarikat dan tempoh bayaran balik akan dilanjutkan,” katanya.

Husni berkata demikian kepada pemberita di luar acara Sesi Perangkaian TeraS kedua dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed di sini, hari ini.

“Dana Mudahcara yang kita beri sekarang adalah secara pembayaran balik. Maknanya, syarikat Bumiputera harus labur dahulu dan apabila sudah capaikejayaan 50 peratus atau 100 peratus projek siap baru kita bayar setelah perunding bebas memberikan pengesahan,” katanya.

Dana Pemudahan itu yang ditubuhkan pada 2013, diuruskan oleh Teraju dan Unit Perkongsian Awam Swasta (UKAS). Pada 30 Jun 2016, Teraju meluluskan kira-kira RM1.5 bilion daripada Dana Pemudahan kepada 375 syarikat Bumiputera yang membangunkan lebih 420 projek di seluruh negaradengan nilai pembangunan kasar RM12.5 bilion, kata Husni.

Sesi Perangkaian TeraS itu dianjurkan oleh Teraju bagi membolehkan syarikat Bumiputera berbincang secara terbuka mengenai cabaran dan bertukar idea untuk menangani isu yang dihadapi mereka. Sesi itu semalam mengumpulkan 148 syarikat TeraS daripada pelbagai sektor termasuk minyak dan gas, pertanian dan perniagaan. 

Sumber: Bernama