1. Home
  2. »
  3. Media Luar
  4. »
  5. KPKT Cadang Tubuh ETC Untuk Kemudahan Golongan Usahawan

KPKT Cadang Tubuh ETC Untuk Kemudahan Golongan Usahawan

TANJONG MALIM, 27 Sept (Bernama) — Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mencadangkan penubuhan Pusat Transformasi Usahawan (ETC) khas untuk membantu golongan usahawan berurusan dengan agensi yang berkaitan keusahawanan.

Menterinya Tan Sri Noh Omar berkata sudah sampai masanya untuk kerajaan menggabungkan semua agensi yang berkaitan dengan keusahawanan di bawah satu bumbung seperti penubuhan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dan Pusat Transformasi Bandar (UTC).

“KPKT ada cadangan untuk tubuh ETC, kita sudah ada RTC dan UTC. Sudah sampai masa kita tubuh pula ETC…gabungkan atau letak semua agensi termasuk TERAJU di satu tempat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Keusahawanan dan Festival Food Truck di Universiti Pendidikan Sultan Idris, di sini Selasa.

Beliau berkata selain menyediakan perkhidmatan kaunter agensi yang berkaitan keusahawanan, ETC juga boleh menyediakan kemudahan seperti dewan pameran dan pusat latihan berkaitan keusahawanan.

Menurutnya ETC juga boleh menjadi tarikan kepada belia yang berminat dalam bidang keusahawanan untuk mendapat ilmu perniagaan secara teori dan praktikal.

Noh berkata di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), KPKT sedia bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk membantu usahawan food truck yang semakin popular ketika ini.

“Food truck ini akan beroperasi di kawasan pihak berkuasa tempatan, jadi sudah tentu ia diberi garis panduan di mana dia boleh berniaga, aktiviti mereka, suasana nak berniaga, kerjasama kepada PBT dan lesen berniaga…ini semua boleh dirancang oleh KPKT,” katanya.

Beliau berkata cadangan untuk mengendalikan food truck itu adalah satu cadangan yang positif serta bernas dan setakat ini terdapat lebih 80 food truck yang beroperasi di Lembah Klang.

Sementara itu, Noh berkata KPKT bersama KKLW dan KBS akan bekerjasama untuk menjadikan Tanjong Malim sebagai bandar mesra belia melalui Bandar Belia 1Malaysia (1MYC) hasil pembangunan berintegrasi dengan peluang kepada belia memajukan diri dalam alam pekerjaan dan keusahawanan.

Beliau berkata empat aspek utama akan ditekankan dalam 1MYC iaitu memenuhi keperluan dan gaya hidup belia, penyediaan perumahan mampu milik, usaha kolaborasi antara agensi kerajaan dan penglibatan sektor swasta.

Sumber: Bernama