TENTANG TERAJU

Mengenai TERAJU

Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) adalah sebuah agensi di bawah naungan Kementerian Ekonomi yang merupakan pemangkin utama dalam memperkasa agenda ekonomi dan sosioekonomi Bumiputera dalam konteks pembangunan nasional Malaysia.

Ditubuhkan pada tahun 2011 di bawah Jabatan Perdana Menteri, TERAJU telah berkembang menjadi tunggak penting dalam memacu transformasi ekonomi Bumiputera yang bertrajektori tinggi. Melalui pendekatan holistik yang merangkumi intervensi strategik, inisiatif inovatif dan program-program yang disasarkan, TERAJU memainkan peranan instrumental dalam meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam industri-industri strategik. Fokus utama agensi ini adalah untuk mewujudkan ekosistem pembangunan Bumiputera yang mampan berlandaskan prinsip pengagihan ekonomi yang adil, saksama, dan inklusif.

Selain daripada aspek ekonomi, TERAJU juga diberi mandat untuk memacu peningkatan kesejahteraan dan kelestarian hidup masyarakat Bumiputera. Usaha ini bertujuan untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif dan dinamik, sekaligus mengangkat martabat Bumiputera ke tahap yang lebih tinggi dalam lanskap sosioekonomi negara. Dengan visi yang jelas dan pendekatan yang komprehensif, TERAJU terus menjadi pemangkin utama dalam mentransformasi landskap ekonomi Bumiputera dan seterusnya menyumbang secara signifikan kepada pembangunan negara yang lebih inklusif dan mampan

Visi

Merangka dan melaksanakan strategi pembiayaan dan pelaburan yang komprehensif untuk memperkasa syarikat-syarikat Bumiputera, sekaligus meningkatkan ketangkasan, daya saing dan kebolehpasaran global mereka di peringkat awal dan pertengahan perniagaan.

Fungsi Kami

TERAJU akan memainkan peranan sebagai “Super-Scaler” yang berwibawa bagi syarikat Bumiputera, merangkumi syarikat baharu hingga syarikat bersaiz sederhana melalui pendekatan yang lebih mampan dan bersasar. Rangka kerja strategik TERAJU memberi tumpuan kepada mempertingkat, memperkukuh, dan menskalakan perniagaan-perniagaan ini. TERAJU juga mempromosikan penyertaan Bumiputera dalam industri strategik berimpak tinggi, membangunkan ekosistem pembangunan dan seterusnya memastikan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif untuk persekitaran perniagaan yang lebih selamat dan penuh keyakinan.

Tentang Jenama

“Sirih berlipat sirih pinang,
Sirih berasal dari seberang,
TERAJU memacu Bumiputera gemilang,
Menjulang martabat ke puncak terbilang”

Ikon jenama TERAJU diilhamkan oleh Teraju Tiga, salah satu komponen fizikal penting dalam struktur utama Wau Bulan yang merupakan khazanah ikonik yang tidak lapuk ditelan zaman kerana rekaan aerodinamiknya yang unggul. Terletak di bahagian hulu Wau Bulan yang berbentuk mata panah dan berada di puncaknya, Teraju Tiga berfungsi sebagai komponen kawalan penerbangan untuk membelah angin, membuka ruang dan menstabilkan wau agar dapat terbang lebih tinggi. Walaupun kecil, Teraju Tiga memainkan peranan yang amat penting dalam penerbangan Wau Bulan, mencerminkan falsafah TERAJU dalam memacu agenda Bumiputera. Teraju Tiga pada Wau Bulan bukan sekadar komponen teknikal, ia membawa makna yang mendalam dalam konteks TERAJU.

Seperti Wau Bulan yang memerlukan Teraju Tiga untuk terbang tinggi dan stabil, TERAJU juga berfungsi sebagai “Super-Scaler” yang memastikan Bumiputera dapat mencapai puncak kecemerlangan ekonomi dengan kestabilan yang kukuh. Dalam usaha memacu agenda bumiputera utama, TERAJU mengadakan pelbagai inisiatif strategik untuk membuka ruang dan peluang kepada para usahawan Bumiputera untuk berkembang maju ke peringkat yang lebih tinggi dan berdaya saing di arena global. Teraju Tiga membolehkan pemain mengawal arah dan ketinggian Wau Bulan. Begitu juga dengan fungsi TERAJU, di mana ia bertanggungjawab untuk mengawal dan mengarahkan pelbagai inisiatif serta berperanan sebagai pemudah cara dalam pembangunan ekonomi Bumiputera secara amnya.

Seperti keindahan Wau Bulan yang menghiasi langit Malaysia, TERAJU terus menjulang aspirasi komuniti Bumiputera. Dengan setiap inisiatif yang dilancarkan, TERAJU menganyam impian dan harapan untuk masa depan yang lebih cerah dan makmur bagi ekonomi Bumiputera. Teraju Tiga yang menjadi inspirasi kepada ikon TERAJU bukan sahaja mencerminkan keseimbangan, kawalan dan kesatuan, tetapi juga berperanan dalam memacu aspek kesejahteraan dan kelestarian hidup bagi menghasilkan persekitaran yang selesa dan dinamik serta mengangkat martabat Bumiputera ke tahap yang lebih tinggi.