1. Home
  2. »
  3. Uncategorized @ms
  4. »
  5. TERAJU Salur RM97 Juta Kepada Pemaju

TERAJU Salur RM97 Juta Kepada Pemaju

SEREMBAN: Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) menyalurkan RM97 juta kepada 50 pemaju melalui Inisiatif Dana Mudah Cara bagi membangunkan projek perumahan untuk Bumiputera di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Datuk Husni Salleh, berkata peruntukan berkenaan adalah insentif yang diberikan kepada pemaju Bumiputera yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam projek pembangunan yang dikendalikan mereka.

“Kita memberi insentif dengan nilai 10 peratus daripada kos keseluruhan projek pembinaan yang mereka jalankan sebagai sokongan dan galakan daripada kerajaan.

“Sebahagian insentif diberikan selepas mereka menyiapkan 50 peratus pembinaan, manakala selebihnya diterima apabila projek siap dibina bagi menggalakkan pemaju menyiapkan projek dengan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran Taman Puncak Rasah yang dibina Citra Upaya Sdn Bhd, di sini, hari ini.

Majlis itu dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha (Kesejahteraan Bandar), Datuk Halimi Abd Manaf. Yang turut hadir, Pengarah Urusan Citra Upaya Sdn Bhd, Datuk Abdul Rahman Harun.

Husni berkata, semua projek perumahan terbabit dilaksanakan di atas tanah rizab Melayu dan tanah adat dengan matlamat menyediakan lebih banyak kediaman mampu milik kepada Bumiputera.

Sumber: Berita Harian