PEKAN 15 Oktober 2016 – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Dana Mudahcara oleh Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) ternyata mampu membantu syarikat bumiputera berkembang sehingga dapat bekerjasama dengan syarikat antarabangsa.
Perdana Menteri berkata, menerusi dana itu, terbukti satu lagi kejayaan apabila seorang pengusaha bumiputera berjaya mengembangkan perniagaan bertaraf dunia menerusi kemudahan gudang pemasangan tempatan (CKD) bagi model Mercedes-Benz di sini.
‘‘Dasar dan usaha kerajaan bukan sahaja memperkasa tetapi membawa perkembangan ekonomi negara secara lebih seimbang dan menjadi pemangkin kapitalis kepada penyertaan bumiputera dalam bidang keusahawanan serta perniagaan.
‘‘Kita mewujudkan peluang untuk membuka laluan lebih luas kepada semua kaum termasuk bumiputera. Sekarang terbukti kawasan dahulunya kurang maju kini bertukar wajah seperti Pekan yang semakin pesat membangun sebagai hab automotif negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pembukaan kemudahan gudang CKD Mercedes-Benz di Taman Automotif Pekan di sini hari ini.
Yang hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Hamodal Sdn. Bhd. dan Nilai Mahir (M) Sdn. Bhd., Al-Meiraj Mohd. Ali.Gudang bernilai RM32 juta itu diuruskan oleh Nilai Murni Sdn. Bhd. iaitu anak syarikat Kumpulan Hamodal Sdn. Bhd.
Menurut Najib, semua kejayaan dikecapi ketika ini adalah hasil daripada dasar kerajaan yang disusun rapi dengan pelaksanaan pelbagai langkah inovatif.
‘‘Kita tidak hanya pandai bercakap tetapi boleh melaksanakan pelbagai perubahan yang kesudahan-nya boleh dinilai oleh rakyat. Bukan siapa boleh bercakap tetapi siapa yang boleh buat perubahan.
‘‘Saya wujudkan Teraju bagi membolehkan pelaburan dilaksanakan, sekali gus membuka peluang luas kepada syarikat tempatan untuk mengembangkan perniagaan masing-masing,” ujarnya.
Tambah beliau, kemasukan pelabur asing menerusi penyediaan rangkaian pembekalan kepada syarikat tempatan pasti dengan sendirinya memberi kesan positif kepada masyarakat setempat.
‘‘Kita akan pastikan kesannya dirasakan oleh rakyat dan negara. Kita tidak mahu hanya syarikat mengaut keuntungan tetapi pada masa sama masyarakat setempat turut merasai faedahnya seperti peluang pekerjaan,’’ katanya.
Sumber: UTUSAN MALAYSIA
Unit Peneraju Agenda Bumiputera
Tingkat 13, Blok A, Suasana PjH
Jalan Tun Abdul Razak
Presint 2
62100 Putrajaya
Hakcipta © 2024 Unit Peneraju Agenda Bumiputera