KUCHING, 18 Jun: Syarikat Bumiputera di Sarawak disaran mengambil langkah strategik jangka panjang dengan menyenaraikan perniagaan mereka di Bursa Malaysia sebagai usaha memperluas operasi, memperkukuh tadbir urus serta meningkatkan daya saing di pasaran.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, penyenaraian syarikat bukan sahaja membuka akses kepada sumber pembiayaan yang lebih besar, malah berperanan mengangkat tahap profesionalisme dan keyakinan pelabur terhadap syarikat Bumiputera.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak turut berkata ia secara tidak langsung akan memperkukuh jenama dan memberi inspirasi kepada generasi usahawan yang akan datang.
“Penyenaraian di Bursa Malaysia turut membolehkan syarikat yang tersenarai berpotensi untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam membentuk ekosistem ekonomi Sarawak termasuk penciptaan peluang pekerjaan, pembinaan rantaian bekalan yang inklusif dan penyumbangan kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan.
“Sehubungan itu, saya ingin menyeru agar sinergi antara agensi Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan, institusi pelaburan serta komuniti pelabur terus diperkukuhkan untuk melahirkan lebih ramai lagi pengusaha Bumiputera Sarawak yang dapat naik kepentas ekonomi negara,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan Penasihat MINTRED Sarawak, Dato Sri Mohd Naroden Majais ketika merasmikan program Road To IPO (Edisi Sarawak) 2025 di sebuah hotel terkemuka di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Awang Tengah menegaskan bahawa kerjasama rentas sektor sangat penting dalam mewujudkan ekosistem yang kondusif, meliputi dasar yang konsisten, pemudahcara pasaran, akses pembiayaan bersasar dan bimbingan teknikal yang berterusan.
Seramai 64 syarikat Bumiputera Sarawak menyertai program Road To IPO (Edisi Sarawak) 2025 anjuran TERAJU dengan kerjasama Bursa Malaysia. Foto: Muqri Aziz (TVS)
Program yang menghimpunkan sebanyak 64 syarikat Bumiputera Sarawak itu merupakan inisiatif Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dengan kerjasama Bursa Malaysia dan selari dengan aspirasi Pelan Tindakan Ekonomi Bumiputera Sarawak 2035 (SBB2035).
Menerusi kerangka 3-7-20, SBB2035 menetapkan sasaran strategik untuk menyenaraikan tiga syarikat Bumiputera Sarawak di Bursa Malaysia, membangunkan tujuh syarikat juara dalam sektor strategik di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) serta meningkatkan 20 peratus perusahaan mikro kepada status Sendirian Berhad menjelang 2030.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Junady Nawawi berkata hanya sekitar tujuh peratus syarikat Bumiputera tersenarai di Bursa Malaysia pada masa ini dan banyak usaha perlu digembleng untuk merealisasikan sasaran di bawah SBB2035 dan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).
“Sarawak memainkan peranan yang amat penting dalam rancangan pembangunan ekonomi Malaysia secara keseluruhan. Syarikat-syarikat di wilayah ini telah menunjukkan potensi yang tinggi bukan sahaja dari segi daya tahan tetapi juga dari segi aspirasi mereka untuk berkembang ke pasaran domestik dan antarabangsa.
“Jesteru, penganjuran program hari ini merupakan satu inisiatif bagi merealisasikan aspirasi strategik Sarawak, khususnya dalam melahirkan syarikat Bumiputera berpotensi tinggi yang bersedia untuk disenaraikan di Bursa Malaysia menjelang tahun 2030 yang bukan sahaja memperkukuh ekosistem korporat Bumiputera di peringkat negeri malah menyumbang secara langsung kepada agenda nasional pemerkasaan pemilikan ekuiti Bumiputera,” katanya lagi.
Jelas Junady, usaha ini akan diteruskan secara kolaboratif antara TERAJU dan Bursa Malaysia menerusi program pemerkasaan menyeluruh yang dirangka bagi mengenal pasti, membimbing serta mempercepatkan kesediaan syarikat Bumiputera Sarawak ke arah penyenaraian menjelang 2030. – TVS
Sumber: www.tvsarawak.my
Unit Peneraju Agenda Bumiputera
Tingkat 13, Blok A, Suasana PjH
Jalan Tun Abdul Razak
Presint 2
62100 Putrajaya
Hakcipta © 2024 Unit Peneraju Agenda Bumiputera