1. Home
  2. »
  3. Media Luar
  4. »
  5. i-WCPF, sedia dana RM100 juta untuk perusahaan Bumiputera

i-WCPF, sedia dana RM100 juta untuk perusahaan Bumiputera

KUALA LUMPUR: Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) melancarkan Program Pembiayaan Projek Modal Kerja Islam (i-WCPF) dengan dana sebanyak RM100 juta bagi menyediakan akses pantas dan mudah kepada pembiayaan untuk perusahaan Bumiputera melalui platform digital.

Program pembiayaan itu akan memudahkan perusahaan Bumiputera peringkat pertengahan mengembangkan operasi di peringkat global dan domestik dalam industri pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV) dan menawarkan sumber pembiayaan alternatif yang biasanya tidak ditawarkan oleh institusi kewangan, penyedia perkhidmatan kewangan dan agensi kerajaan.

Program i-WCPF itu menawarkan had pembiayaan sehingga RM1 juta kepada syarikat sasaran di dalam industri HGHV dengan tempoh pembiayaan sehingga 12 bulan.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata program pembiayaan itu adalah dana rakan setara (P2P) berlandaskan Syariah antara yang paling awal di negara ini bagi membolehkan syarikat Bumiputera untuk mendapatkan pembiayaan jangka pendek bagi modal pusingan mereka.

“Apa yang kita lancarkan pada hari ini adalah sebahagian daripada mandat yang telah diberikan kepada TERAJU untuk membina ekosistem pemerkasaan dan pemberdayaan usahawan Bumiputera yang lebih lengkap,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Peluncuran TERAJU Aspirasi Outreach: Connect 2024 dan peluncuran i-WCPF, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib.

Dalam pada itu, Rafizi juga berkata, melahirkan hasratnya kepada TERAJU supaya agensi di bawah Kementerian Ekonomi itu berjaya menggalas tanggungjawab seperti mana dewan perniagaan Cina membantu syarikat Cina dalam ekosistem bukan Bumiputera.

Beliau berkata, pihaknya mahu TERAJU sampai ke peringkat itu, barulah lebih banyak syarikat Bumiputera dapat dibantu.

TERAJU menganjurkan program TERAJU Connect 2024 sebagai pengenalan pertama produk baharu bagi memperkasakan perniagaan Bumiputera.

Objektif utama TERAJU Connect adalah mewujudkan platform yang komprehensif untuk memperkenalkan perkhidmatan pembiayaan dan pemudahcaraan baharu yang disesuaikan khusus untuk perniagaan Bumiputera.

Dalam pada itu, TERAJU Connect 2024 juga bakal menganjurkan program perbincangan dan analisis wacana Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) bagi meningkatkan kesedaran dan pemahaman mengenai PUTERA35 dalam kalangan pihak-pihak berkepentingan termasuk kementerian dan agensi yang bertindak sebagai pelaksana dan penyelaras, serta sektor swasta.

la juga diharapkan dapat menjadi platform dan pemudahcara bagi mengadakan perbincangan, perkongsian ilmu, pertukaran idea dalam kalangan pihak-pihak berkepentingan, mengenai topik tertentu daripada mana-mana 12 Pemacu dan 132 Ikhtiar di bawah PuTERA35.

PuTERA35, dengan visi Mengangkat Darjat dan Martabat Bumiputera, dibangunkan selaras dengan aspirasi Ekonomi MADANI iaitu Memperkasa Rakyat serta dijajarkan dengan Agenda Pembangunan Mampan 2030 (Agenda 2030).

Sumber: Berita Harian