1. Home
  2. »
  3. Media Luar
  4. »
  5. Sarawak perkasa bumiputera menerusi kerangka 3-7-20

Sarawak perkasa bumiputera menerusi kerangka 3-7-20

KUCHING: Sarawak menyasarkan untuk menyenaraikan tiga syarikat bumiputera tempatan di Bursa Malaysia menjelang 2030, kata Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau berkata, sasaran itu merupakan sebahagian daripada kerangka ‘3-7-20’ di bawah Pelan Tindakan Ekonomi Bumiputera Sarawak 2035 (SBB2035).

“Selain tiga syarikat tersenarai, kita juga mahu wujudkan tujuh syarikat ‘champion’ dalam sektor strategik di bawah Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS 2030), serta meningkatkan 20 peratus perusahaan mikro menjadi syarikat sendirian berhad menjelang 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan (MINTRED) Datuk Seri Mohd Naroden Majais dalam program Road to IPO: Edisi Sarawak anjuran Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), di sini hari ini.

Tambah beliau, kerangka itu bukan hanya angka atas kertas, sebaliknya satu iltizam dan strategi jangka panjang untuk melahirkan lebih banyak syarikat bumiputera yang kukuh, berdaya saing dan memberi impak besar kepada ekonomi negeri.

“Untuk capai sasaran ini, kita perlukan sokongan menyeluruh seperti akses kepada pembiayaan, tadbir urus korporat yang baik, pembinaan kapasiti, dan laluan jelas ke pasaran modal,” katanya.

Beliau juga menjelaskan bahawa penyenaraian di Bursa Malaysia tersebut akan membuka akses kepada modal yang lebih besar, memperkukuh struktur tadbir urus dan meletakkan syarikat di landasan pertumbuhan jangka panjang yang lebih mampan.

“Penyenaraian turut membolehkan syarikat yang tersenarai berpotensi untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam membentuk ekosistem ekonomi Sarawak.

“Ini termasuk penciptaan peluang pekerjaan, pembinaan rantaian bekalan yang inklusif dan penyumbangan kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan,” ujarnya.

Sehubungan itu, Awang Tengah menyeru agar sinergi antara agensi Kerajaan Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan, institusi pelaburan serta komuniti pelabur terus diperkukuh untuk melahirkan lebih ramai pengusaha bumiputera Sarawak yang dapat naik ke pentas ekonomi negara.

Kerjasama rentas sektor ini katanya amat penting bagi menyediakan ekosistem yang kondusif merangkumi sokongan dasar yang konsisten, pemudah cara pasaran, pembiayaan bersasar dan bimbingan teknikal.

Pada masa ini katanya TERAJU bekerjasama rapat dengan institusi kewangan dan pasaran termasuk Bursa Malaysia, melalui inisiatif seperti Bumiputera Expansion and Catalyst Fund (BECF) dan Islamic Working Capital Project Financing (I-WCPF) bagi membantu syarikat Bumiputera berkembang secara menyeluruh.

Sumber: suarasarawak.my