1. Home
  2. »
  3. Media Luar
  4. »
  5. RHB Islamic sedia RM31.35j projek PR1MA

RHB Islamic sedia RM31.35j projek PR1MA

KUALA LUMPUR 19 April – RHB Islamic Bank Berhad akan menyediakan kemudahan pembiayaan berjumlah RM31.35 juta bagi membiayai dua projek PR1MA di Kelantan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic, Datuk Adissadikin Ali berkata, kemudahan itu merangkumi penyediaan pembiayaan kepada pemaju hartanah, AUEI Teras Holdings Sdn. Bhd. (AUEI) dan Vertex Central Industries Sdn. Bhd. berjumlah RM17.75 juta bagi projek PR1MA di Kubang Kerian dan RM13.6 juta bagi projek di Machang.

“RHB Islamic yang merupakan rakan kerjasama Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) bagi Skim Dana Teras, sangat gembira diberi peluang untuk menyokong syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di bawah program Teras.

“Dengan skim ini, ia membolehkan lebih ba­nyak syarikat Teras me­ne­roka peluang dan menceburi perniagaan berdaya maju yang akan mening-katkan kepakaran teknikal, perniagaan dan keupayaan kewa­ngan mereka ke tahap yang lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

RHB Islamic mengumumkan kemudahan pembiayaan itu sempena program Teraju, Memacu Agenda Bumiputera 2017 – Pelancaran Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera 2.0 (BETR 2.0) yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Program Teras yang diterajui Teraju, meletakkan sasaran untuk meningkatkan penyertaan syarikat PKS dalam ekonomi Malaysia.

RHB Islamic memulakan kerjasama dari segi pembiayaan dengan Teraju sejak 10 Disember 2012 untuk menyediakan perkhidmatan akses kewangan dan khidmat nasihat kepada syarikat Teras.

Secara dasarnya, RHB Islamic merupakan bank Islam komersial pertama yang bekerjasama dengan Teraju untuk membantu syarikat berprestasi tinggi, membiayai PKS dengan dana sedia ada berjumlah RM1 bilion terdiri daripada RM400 juta untuk pembiayaan modal kerja manakala RM600 juta bagi perolehan asset.

Sumber: UTUSAN ONLINE