1. Home
  2. »
  3. Media Luar
  4. »
  5. PuTERA35 Diperkenal, Anjakan Besar Dalam Pembangunan Bumiputera – PM Anwar

PuTERA35 Diperkenal, Anjakan Besar Dalam Pembangunan Bumiputera – PM Anwar

PUTRAJAYA, 19 Ogos (Bernama) — Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PUTERA35) diperkenalkan hari ini sebagai anjakan besar dalam membawa pembangunan Bumiputera ke arah menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi serantau.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata selaras peredaran masa, negara memerlukan satu pelan baharu yang akan memacu agenda Bumiputera ke tahap yang lebih baik serta lebih jelas.

“Negara harus dipacu dengan tahap kelajuan yang lebih meyakinkan dan dalam masa sama, negara masih bertapak kepada kenyataan bahawa pemacuan ini tidak harus meminggirkan mana mana pihak.
“Kerangka pemikiran bahawa pemacuan ekonomi itu harus bersama dengan penyertaan seluruh rakyat tanpa meminggirkan mana-mana suku kaum atau wilayah,” katanya ketika berucap meluncurkan PUTERA35 di sini, hari ini.

PUTERA35 diperkenal bagi mengangkat darjat dan martabat Bumiputera agar sejajar dengan aspirasi Ekonomi MADANI iaitu Memperkasa Rakyat serta dijajarkan dengan Agenda Pembangunan Mampan 2030 (Agenda 2030) yang akan membolehkan rakyat Malaysia menikmati kehidupan lebih berkualiti. PUTERA35 menggarap tiga teras utama iaitu Memperkukuh Pasak Ekonomi Negara; Memperteguh Kerukunan Tatakelola dan Institusi serta Menegakkan Keadilan Sosial.

Pelan itu juga menggarap 12 Pemacu dan 132 Ikhtiar dalam memperkasakan lagi agenda Bumiputera. Sementara itu Perdana Menteri berkata pengenalan PUTERA35 itu tidak sesekali mengetepikan kepentingan suku atau kaum lain di negara ini.
“Siapa kata dasar Bumiputera ini mengetepikan kepentingan suku-suku kaum lain, kalau ada suara-suara yang munasabah, tuntutan, kita boleh terima.
“(Ini) bahawa dasar Bumiputera di Malaysia ini adalah dasar affirmative untuk memikir, merenung tentang keadaan ketidakadilan, tetapi tidak pernah mengetepikan kedudukan anak India, anak Cina, apa lagi suku kaum Bumiputera sama ada Orang Asli atau penduduk di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Anwar turut menggesa semua agensi pemerkasaan agenda Bumiputera untuk merencana program dengan bertanggungjawab dan penuh akauntabiliti.
Beliau berkata mereka yang mengurus agensi Bumiputera, kalau merosakkan agensi itu dengan tata kelola rendah, boleh dianggap pengkhianat lebih besar.
“… sebelum kita terus ke peringkat pelaksanaan, yang nak laksanakan ini siapa? Tentunya agensi Bumiputera, maka mereka harus pastikan proses pelaksanaan itu lebih teliti, lebih cekap, lebih bertanggungjawab,” katanya.
Selain itu beliau berkata agensi penguatkuasaaan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Lembaga Hasil Dalam Negeri juga boleh memainkan peranan memantau agensi pemerkasaan Bumiputera.

“… baru-baru ini kuasa yang lebih diberikan kepada Ketua Audit Negara untuk masuk dan memantau, kerana ini prasyarat, kalau tidak kita curah berpuluh bilion, dia masih tiris dan bocor.
“Kesannya tidak sampai ke peringkat akar umbi menyebabkan dalam kalangan anak muda, rakyat, merasa resah kerana bunyinya hebat, perancangannya memukau tapi pelaksanaan tidak ke mana,” katanya dan menambah, pemantauan adalah untuk pastikan kejayaan PUTERA35.

Kementerian Ekonomi dalam kenyataan sempena peluncuran PUTERA35 memaklumkan pelaksanaan pelan itu akan dipantau sepenuhnya oleh Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) yang dipengerusikan Perdana Menteri.
“Pelaporan dan pemantauan secara sistematik dan bersepadu melalui dashboard akan membolehkan penilaian yang lebih menyeluruh serta langkah intervensi dapat diambil dengan segera.

Peranan Unit Pemerkasaan Agenda Bumiputera (UPAB) di semua kementerian juga akan diperkasa dan diberi tanggungjawab untuk membuat pelaksanaan dan pemantauan Ikhtiar secara rapi pada peringkat kementerian dan agensi, menurut kenyataan itu.

Sumber: BERNAMA