1. Home
  2. »
  3. Uncategorized @ms
  4. »
  5. Projek Bernilai RM2.434b Dilaksana Di Sarawak

Projek Bernilai RM2.434b Dilaksana Di Sarawak

KUCHING: Terdapat 15 projek sambungan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) dengan nilai RM2.434 bilion akan dilaksana di Sarawak, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Menurut beliau, antara projek keutamaan adalah naik taraf Jalan Bintulu ke Samalaju dari Simbang Nyabau ke Simpang Bakun, pembinaan Jambatan Batang Sadong dan Jambatan Samarahan, menaik taraf Jalan Tanjung Kidurong ke Taman Perindustrian Samalaju dan naik taraf Batu 10 ke Batu 15 Jalan Kuching-Serian.

“Kesemua projek ini adalah dipohon untuk dilaksanakan dalam RMK11 mengikut keutamaan berdasarkan projek janji pilihan raya, Pelan Induk Jalan dan keutamaan kerajaan negeri,” katanya pada Sesi Rangkaian Syarikat-Syarikat Berprestasi Tinggi (TERAS) di sini, semalam.

Turut hadir Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) dan Menteri Muda Perancangan Sumber Datuk Mohd Naroden Majais dan Ketua Pegawai Eksekutif Unit Peneraju Agenda Bumiputera, Jabatan Perdana Menteri Datuk Husni Salleh.

Justeru, Fadillah berkata tumpuan projek di Sarawak adalah kepada Lebuh Raya Pan Borneo iaitu satu projek jalan raya sepanjang 1,089 kilometer yang dijalankan secara Project Delivery Partner (PDP) melalui perjanjian antara kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dengan Syarikat LBU Sdn Bhd pada Jun 2015.

Katanya, status terkini pelaksanaan adalah melibatkan dua jajaran projek telah pun bermula pada tahun lepas iaitu dari Simpang Nyabau ke Simpang Bakun, Bintulu sepanjang 43 kilometer dan juga jajaran kedua dari Telok Melano ke Sematan sepanjang 33 kilometer.

“Sepuluh lagi pakej baki jajaran Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak yang lain iaitu dari Sematan ke Miri sepanjang 746 kilometer akan ditender secara berperingkat sepanjang tahun 2016.

“Semua pakej kerja pelaksanaan Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak ini bermula pada tahun 2016 dan dijangka siap menjelang tahun 2020,” katanya.

Selain itu, Fadillah berkata khusus bagi Sarawak, terdapat 46 projek sambungan daripada RMK10.

Jelas beliau, daripada jumlah tersebut terdapat enam projek dengan kos RM290 juta dalam peringkat reka bentuk dan proses perolehan.

“Ini tentunya memberi peluang perniagaan kepada pemain-pemain industri pembinaan dalam RMK11.

Sumber: Utusan Borneo