PUTRAJAYA, 20 OGOS: Perdana Menteri mengingatkan agensi terlibat dengan agenda pemerkasaan Bumiputera mendukung sikap kebertanggungjawaban atau akauntabiliti tinggi dalam segala aspek.
Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan peranan agensi itu amat mustahak bagi memastikan kecekapan pelaksanaan dan keberkesanan sebarang program pemerkasaan yang disediakan untuk Bumiputera.
“Agensi yang mengurus dan mengendalikan Bumiputera itu dianggap pengkhianat lebih besar kalau mereka rosakkan agensi dengan tatakelola rendah.
“Atau gunakan agensi dan untuk jayakan kepentingan diri dan kelompok mereka dan akhirnya meninggalkan agenda utama untuk mengangkat martabat Bumiputera.
“Pastikan rencana setiap program dengan bertanggungjawab, pelaksanaan lebih teliti, lebih cekap dan lebih bertanggungajwab,” katanya.
Terdahulu, beliau berucap pada Majlis Peluncuran Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) di Pusat Kovensyen Antarabangsa Putrajaya semalam.
Anwar berkata PuTERA35 akan dipantau pelaksanaannya bagi memastikan kesannya sampai kepada golongan sasar.
“Tanggungjawab agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan, jabatan dan kementerian (pastikan pelaksanaan lancar). Kita pantau dari dekat dan mahu pelan ini berjaya untuk memartabat Bumiputera dan rakyat Malaysia,” katanya.
PuTERA35 digarap menerusi tiga teras bagi Memperkukuh Pasak Ekonomi Negara, Memperteguh Kerukunan Tatakelola dan Institusi dan Menegakkan Keadilan Sosial.
Disokong tiga teras, 12 pemacu dan 132 ikhtiar komprehensif, berani, berpandangan dan inklusif sejajar Ekonomi Madani, pelan itu usaha berterusan kerajaan mengangkat martabat Bumiputera.
Matlamatnya pula membangunkan Bumiputera dinamik dan futuristik, mendepani isu, cabaran semasa dan mendatang selain menetapkan sasaran jelas bagi penyertaan, pemilikan dan penguasaan ekonomi.
Rancangan itu juga bakal membangunkan mekanisme pemantauan lebih berkesan melalui penetapan pihak yang bertanggungjawab dalam pelaksanaan setiap ikhtiar melibatkan Bumiputera.
Pelaksanaan PuTERA35 akan dipantau sepenuhnya Majlis Ekonomi Bumiputera yang dipengerusikan perdana menteri selain pelaporan bersepadu melalui ‘dashboard’ bagi penilaian menyeluruh.
Source: Selangorkini
Unit Peneraju Agenda Bumiputera
Tingkat 13, Blok A, Suasana PjH
Jalan Tun Abdul Razak
Presint 2
62100 Putrajaya
Hakcipta © 2024 Unit Peneraju Agenda Bumiputera