SHAH ALAM, 20 OGOS 2024: Selangor tekad menyokong aspirasi kerajaan dalam menjayakan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) sekali gus memberi limpahan manfaat berterusan kepada pembangunan dan kemajuan negeri.
Dato’ Menteri Besar berkata Selangor juga akan memastikan apa yang diaspirasikan dalam PuTERA35 dapat dilaksanakan dengan jaya demi kesejahteraan rakyat.
“PuTERA35 merupakan pelan komprehensif merentas lebih satu dekad yang tidak bersifat eksklusif kepada Bumiputera sahaja malah turut memanfaatkan kaum lain.
“Ia dibangunkan dengan hasrat menggalakkan penyertaan Bumiputera dalam sektor ekonomi, meningkatkan taraf dan kualiti hidup Bumiputera juga untuk merapatkan jurang ekonomi antara kaum di Malaysia,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Facebook malam tadi.
Amirudin berkata penyediaan PuTERA35 juga mengambil kira pandangan daripada Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) melibatkan usaha bersepadu semua pihak berkepentingan daripada sektor awam, swasta termasuk golongan bukan Bumiputera.
Semalam, kerajaan melancarkan PuTERA35, hala tuju baharu sebagai langkah proaktif mengangkat darjat dan martabat Bumiputera.
Rancangan itu menggagas tiga teras sejajar Ekonomi Madani iaitu memperkukuh pasak ekonomi negara, memperkukuh kerukunan tatakelola dan institusi dan menegakkan keadilan sosial.
Matlamatnya untuk membangunkan Bumiputera dinamik dan futuristik, mendepani isu, cabaran semasa dan mendatang selain menetapkan sasaran jelas bagi penyertaan, pemilikan dan penguasaan ekonomi.
Rancangan itu juga bakal membangunkan mekanisme pemantauan lebih berkesan melalui penetapan pihak yang bertanggungjawab dalam pelaksanaan setiap ikhtiar melibatkan Bumiputera.
Sumber: SelangorKini
Unit Peneraju Agenda Bumiputera
Tingkat 13, Blok A, Suasana PjH
Jalan Tun Abdul Razak
Presint 2
62100 Putrajaya
Hakcipta © 2024 Unit Peneraju Agenda Bumiputera