KUALA LUMPUR 19 April – Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera (BETR) yang bermula pada 2011 telah berjaya melahirkan ramai usahawan muda bumiputera dengan sifat daya saing yang tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Datuk Husni Salleh berkata, program seperti Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (Superb) yang dilancarkan pada 2014 telah berjaya membantu seramai 125 orang usahawan muda merealisasikan idea perniagaan mereka ke peringkat yang lebih tinggi.
Katanya, penyertaan yang diterima setiap kali siri Superb dijalankan oleh Teraju juga meningkat dari semasa ke semasa dan ini jelas menunjukkan golongan muda hari ini bersungguh-sungguh untuk berjaya.
Untuk itu katanya, Teraju akan meneruskan serta menambah baik program-program dan inisiatif yang dijalankan dalam BETR 2.0 atau kini dikenali sebagai Transformasi
Kesejahteraan Bumiputera (TKB) bagi memastikan ada kesinambungan daripada program sebelum ini.
“Kita telah melahirkan generasi dengan semangat juang yang tinggi dan kita mahu legasi ini diteruskan demi perjuangan agenda bumiputera, untuk memperkasakan bumiputera,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran BETR 2.0 Transformasi Kesejahteraan Bumiputera (TKB) di sini hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melakukan upacara pelancaran tersebut. Yang turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Husni berkata, Teraju juga menyeru lebih ramai usahawan bumiputera untuk tampil ke hadapan dan merebut peluang-peluang yang diberikan melalui program dan inisiatif yang diperkenalkan agar dapat menyaksikan lebih banyak penyertaan bumiputeradalam projek berskala besar di negara ini.
“Kita juga telah berjaya mencipta nilai dan peluang perniagaan, pembiayaan serta pembangunan modal insan untuk bumiputera sebanyak RM108 bilion sehingga 31 Mac 2017 melalui 28 buah program dan inisiatif yang dijalankan sejak ditubuhkan pada 2011.
“Inisiatif seperti Carve Out and Compete yang diperkenalkan Teraju juga telah menyaksikan komitmen berjumlah RM54.24 bilion daripada 13 buah projek berjaya diperuntukkan khas kepada usahawan bumiputera,” katanya.
Sementara itu Pengerusi Teraju, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dalam ucaptama program perasmian itu berkata, Teraju melalui Majlis Ekonomi Bumiputera telah menyumbang secara keseluruhan RM100.4 bilion limpahan ekonomi bumiputera.
Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, ia juga telah mencipta sebanyak 40,629 peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.
Sumber: UTUSAN ONLINE
Unit Peneraju Agenda Bumiputera
Tingkat 13, Blok A, Suasana PjH
Jalan Tun Abdul Razak
Presint 2
62100 Putrajaya
Hakcipta © 2024 Unit Peneraju Agenda Bumiputera