20 Mei 2024, PETALING JAYA: Tiga agensi bermandat bumiputera di bawah Kementerian Ekonomi dijajar semula selaras dengan matlamat kerajaan memperkasa dan melonjakkan penyertaan ekonomi kelompok itu secara strategik dan berkesan.
Tiga agensi itu adalah Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Yayasan Peneraju (YP) dan Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas).
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata penjajaran berkenaan akan dilaksanakan melalui kerjasama pintar antara sektor awam dan swasta, selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak berkepentingan melalui sesi libat urus yang dijalankan awal tahun ini.
Inisiatif penjajaran semula ini dilakukan susulan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK-12) yang menggariskan strategi untuk memperkukuh peranan agensi mandat bumiputera dalam penyampaian agenda bumiputera, katanya pada Majlis Menskalakan Penciptaan Nilai Bumiputera di Cyberjaya.
Rafizi berkata menerusi penjajaran semula itu, Teraju, YP, dan Ekuinas akan memainkan peranan khusus dalam ekosistem keusahawanan bumiputera.
Menurutnya, YP akan fokus kepada pembangunan bakat untuk meningkatkan kelas pencipta nilai bumiputera manakala Teraju bertindak sebagai ‘super-scaler’ dalam memacu pertumbuhan dan memperluas skala syarikat bumiputera ke tahap lebih tinggi dan kompetitif di arena global.
Ekuinas pula akan terus memacu penciptaan kekayaan dan penglibatan ekonomi bumiputera melalui pemilikan ekuiti korporat, tambahnya.
“Menjelang 2030, hasil daripada penjajaran semula ini, ketiga-tiga agensi terlibat telah diberikan sasaran yang perlu dicapai.
YP perlu menyediakan 10,000 bakat bumiputera yang bersedia untuk bersaing dan menjadi pemain industri, Teraju pula disasarkan untuk menyediakan kemudahan pembiayaan berjumlah RM1 bilion menerusi kerjasama dengan sektor swasta serta membangunkan dan meningkatkan keupayaan sebanyak 1,000 syarikat, katanya.
Beliau berkata Ekuinas akan menyokong lebih banyak syarikat usahawan bumiputera yang mempunyai rekod prestasi dan keuntungan yang cemerlang.
Melalui dana berjumlah RM800 juta, katanya, Ekuinas akan melabur untuk menyokong pertumbuhan syarikat, memastikan mereka terus berkembang dan mencapai kejayaan yang lebih besar di pasaran.
Pada majlis itu, Rafizi turut menyaksikan beberapa pertukaran dokumen persefahaman antaranya antara Teraju dan Leave a Nest bagi peluang kolaborasi dan rangkaian melalui ekosistem strategik, akses pembiayaan dan sokongan pembuatan prototaip.
Selain itu, Teraju juga bakal berkolaborasi dengan Malaysian Institute of Economic Research (MIER) bagi program pemudahcaraan melalui depositori Korporat Bumiputera, khidmat rundingan dan khidmat nasihat.
Ia juga akan berkolaborasi dengan Sirim Bhd bagi program pemudahcaraan melalui khidmat rundingan dan khidmat nasihat yang memfokuskan kepada produk teknologi dan perkhidmatan.
Teraju juga akan berkolaborasi dengan institusi kewangan seperti Bank Muamalat Malaysia Bhd, RHB Islamic Bhd, MIDF Bhd, MBSB Bank Bhd, Sabah Credit Corporate, Maybank Islamic Bhd, SME Bank, Agrobank, Bank Rakyat, Credit Guarantee (CGC), Exim Bank, PERNAS, Development Bank of Sarawak bagi mewujudkan kemudahan pembiayaan bernilai RM1 bilion untuk syarikat bumiputera.
Lebih 500 peserta termasuk wakil perusahaan bumiputera pelbagai saiz, pemimpin korporat, syarikat berkaitan kerajaan dan agensi kerajaan hadir pada majlis berkenaan.
Sumber: Free Malaysia Today
Unit Peneraju Agenda Bumiputera
Tingkat 13, Blok A, Suasana PjH
Jalan Tun Abdul Razak
Presint 2
62100 Putrajaya
Hakcipta © 2024 Unit Peneraju Agenda Bumiputera