1. Home
  2. »
  3. Media Luar
  4. »
  5. TERAJU bantu perkasa syarikat bumiputera

TERAJU bantu perkasa syarikat bumiputera

KUCHING: Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) menggesa penyertaan lebih kukuh daripada golongan bumiputera dalam pasaran modal Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Junady Nawawi berkata, pemilikan dan kawalan bumiputera dalam pasaran awam masih rendah meskipun pelbagai usaha digerakkan sejak beberapa dekad lalu bagi memperkasa pelibatan ekonomi.

“Daripada 97 penyenaraian baharu dalam tempoh tiga tahun lalu, hanya satu syarikat milik majoriti bumiputera. Ini bukan sekadar angka, ia satu seruan untuk bertindak,” katanya ketika berucap pada program Road to IPO: Edisi Sarawak di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa TERAJU giat membangunkan barisan syarikat bumiputera yang bersedia untuk disenaraikan secara awam.

“Inisiatif hari ini selaras dengan mandat TERAJU untuk membina ekosistem pembangunan bumiputera yang mampan, inklusif dan berdaya saing, seiring semangat Malaysia MADANI,” jelasnya.

Tambah beliau, agensi itu memberi tumpuan kepada membantu syarikat bumiputera meningkatkan nilai perniagaan serta daya saing mereka.

Di Sarawak, katanya, TERAJU bekerjasama dengan Bursa Malaysia dan Deloitte untuk melaksanakan program sokongan berstruktur merangkumi pembangunan kapasiti, panduan teknikal, serta akses kepada kepakaran industri dan pembiayaan.

“Kerajaan Sarawak menetapkan pelaksanaan kerangka 3-7-20 sebagai pemangkin kepada pengukuhan keusahawanan bumiputera, iaitu menyasarkan penyenaraian tiga syarikat bumiputera di Bursa Malaysia menjelang 2030, mewujudkan tujuh syarikat ‘champion’ dalam sektor strategik dan menaik taraf 20 peratus perusahaan mikro kepada status Sendirian Berhad,” katanya.

Junady berkata, sasaran tersebut sejajar dengan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera (PuTERA35) Kerajaan Persekutuan yang menyasarkan peningkatan pemilikan ekuiti individu dan institusi Bumiputera daripada RM1.71 trilion kepada RM2.93 trilion menjelang 2035.

Sumber: suarasarawak.my