1. Home
  2. »
  3. Media Luar
  4. »
  5. Kerajaan Beri Sebidang Tanah Sebagai Tapak Bina Bangunan DCCI

Kerajaan Beri Sebidang Tanah Sebagai Tapak Bina Bangunan DCCI

SANTUBONG: Kerajaan negeri bersetuju memberi sebidang tanah kepada Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak (DCCI) sebagai tapak bagi pembinaan bangunan persendirian DCCI.

Persetujuan tersebut dinyatakan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem pada Sambutan Bersama Ke-10 Gawai-Kaamatan DCCI-KCCI (Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kadazan-Dusun) Sabah di Kampung Budaya Sarawak (SCV) di sini.

Bagaimanapun, perkara ini akan diperincikan terlebih dahulu antara kerajaan negeri dan DCCI dan keputusan akan dibuat sebelum hujung tahun ini.

Terdahulu Presiden DCCI Datuk Joseph Salang Gandum berkata permohonan tanah bagi tapak bangunan DCCI ini telah dikemukakan dua tahun lalu dalam satu majlis di Sebauh, Bintulu.

“Bangunan ini amat diperlukan untuk DCCI mengadakan program dan aktiviti berkaitan dengan bidang perniagaan dan perindustrian serta melatih lebih ramai masyarakat Dayak untuk berkecimpung dalam bidang perniagaan.

“Selain itu, semua cawangan di seluruh negeri juga sedang mencari tapak yang sesuai untuk membangunkan premis bagi ahli-ahli DCCI menjalankan aktiviti perniagaan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Salang berkata DCCI kini memberi tumpuan kepada dua bidang iaitu pelancongan inap desa dan perniagaan agro dalam usaha mengangkat ekonomi masyarakat Dayak.

Dengan bantuan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), DCCI telah dua tahun menjalankan latihan kepada rakyat di luar bandar dalam aktiviti pelancongan inap desa dan perniagaan berasaskan agro di luar bandar.

“Saya percaya dengan pelantikan Datuk Amar Douglas Uggah Embas sebagai Menteri Pemodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar ia akan membantu usaha kita untuk mengangkat ekonomi rakyat dalam dua bidang ini,” katanya.

Pada majlis itu malam kelmarin, Salang memberi penghargaan kepada Ketua Menteri yang telah memberi kontrak kepada ahli-ahli DCCI dan juga Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) bagi projek pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak.

Tanpa bantuan daripada Ketua Menteri, ahli-ahli DCCI dan DUBS mungkin tidak mampu membida sendiri kontrak yang ditawarkan di bawah projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak ini.

Turut hadir Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri, Presiden KCCI Bonipasius Bianis, Timbalan Presiden DCCI Kilat Beriak yang juga pengerusi penganjur serta ahli daripada kedua dewan perniagaan.

Sumber: Utusan Borneo